Ada dua jenis zakat: zakat yang diajarkan
oleh syariat dan zakat kerohanian yang berlainan sifatnya. Zakat yang
diajarkan oleh syariat ialah mengeluarkan daripada barang-barang dalam dunia
ini. Setelah ditolak jumlah tertentu yang diperuntukkan sebagai kegunaan
keluarga, satu bahagian dibahagikan kepada orang miskin. Zakat rohani
Bagaimanapun diambil daripada perolehan barangan akhirat. Ia juga diberikan
kepada orang miskin, iaitu miskin kerohanian.
Zakat adalah memberi bantuan kepada orang
miskin. Allah perintahkan:
“Sedekah-sedekah itu untuk faqir-faqir dan miskin”. (Surah at-Taubah, ayat 60).
Apa juga yang diberi untuk tujuan ini
sampai kepada tangan Allah Yang Maha Tinggi sebelum dihantar kepada yang
memerlukannya. Jadi, tujuan zakat dan sedekah ini bukanlah terutamanya untuk
membantu yang memerlukan, kerana Allah adalah Pemberi kepada semua yang
memerlukan, tetapi supaya niat baik pemberi zakat dan sedekah itu diterima
oleh Allah.
Mereka yang hampir dengan Allah menjadikan
ganjaran rohani daripada perbuatan baiknya sebagai kebaktian kepada orang
yang berdosa. Allah Yang Maha Tinggi menyatakan keampunan-Nya mengampunkan
orang-orang yang berdosa mengikut kadar doa, permohonan, pujian, puasa,
sedekah, hajji dan lain-lain kebaikan para hamba-Nya yang berhasrat
mengorbankan ganjaran kerohanian yang mereka harapkan sebagai hasil daripada
ibadat dan ketaatan mereka, Allah dengan kemurahan-Nya menutup dan
menyembunyikan dosa para pendosa sebagai balasan terhadap kebaktian para
hamba-Nya yang baik-baik.
Kemurahan hati hamba-hamba-Nya yang beriman
hingga kepada peringkat mereka tidak memiliki apa-apa lagi, tidak menyimpan
sesuatu apa pun untuk diri mereka, hinggakan tidak ada nama baik dari
kebaikan mereka juga tidak ada harapan untuk balasan akhirat. Orang yang
memasuki jalan ini kehilangan segala-galanya termasuklah kewujudan dirinya
sendiri. Dia menjadi muflis sepenuhnya kerana dia benar-benar murah hati.
Allah mengasihi orang yang murah hati sampai kepada peringkat muflis
seluruhnya pada dunia ini. Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang membelanjakan
semua yang dimilikinya dan tidak berharap untuk memiliki apa-apa berada di
dalam penjagaan Allah di dunia dan akhirat”.
Rabiatul Adawiyah berdoa, “Wahai Tuhan.
Berikan semua bahagianku daripada dunia ini kepada orang-orang kafir dan jika
ada bahagianku di akhirat bahagikannya kepada hamba-hamba-Mu yang beriman.
Apa yang aku inginkan dalam dunia ini ialah merindui-Mu dan yang aku inginkan
di akhirat ialah bersama-Mu, kerana manusia dan apa sahaja yang diperolehinya
adalah milik-Mu”.
Allah membalas sehingga sepuluh kali ganda
kepada orang yang bersedekah.
“Barangsiapa kerjakan kebaikan maka baginya (ganjaran) sepuluh kali ganda”. (Surah al-An’aam, ayat 160).
Faedah lain daripada sedekah ialah kesan
penyuciannya. Ia menyucikan harta dan diri seseorang. Jika diri dibersihkan
daripada sifat-sifat ego maka tujuan sedekah atau zakat batin (kerohanian)
tercapai.
Memisahkan seseorang dengan apa yang dia anggap
sebagai miliknya mendatangkan balasan yang berganda di akhirat:
“Siapakah yang hendak meminjamkan kepada Allah satu pinjaman yang baik lalu Dia gandakan (ganjaran) baginya, padahal (adalah) baginya ganjaran yang mulia?” (Surah al-Hadiid, ayat 11).
“Berbahagialah orang yang membersihkannya
(jiwanya)”. (Surah asy-Syams, ayat 9).
Zakat, ‘sedekah yang indah’ adalah
perbuatan yang baik, sebahagian daripada yang kamu terima, kebendaan dan
kerohanian. Belanjakanlah kerana Allah, kepada Allah. Walaupun balasan
berganda dijanjikan jangan pula melakukannya kerana balasan tersebut. Berikan
zakat dan sedekah secara mengambil berat, dengan kasih sayang dan kasihan
belas bukan sebagai budi, mengharapkan pujian, membuat penerima merasa
terhutang budi dan terikat.
“Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah
kamu batalkan (pahala) sedekah kamu dengan bangkitan dan gangguan”. (Surah al-Baqarah, ayat 264).
Jangan meminta dan mengharapkan faedah
keduniaan bagi perbuatan baik kamu. Lakukannya kerana Allah semata-mata. Firman
Allah:
“Kamu tidak akan dapat (balasan) kebaikan kecuali kamu mendermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi, dan sesuatu apa yang kamu dermakan itu Allah mengetahui akan dia”. (Surah al-‘Imraan, ayat 92). |
Jl.Ki hajar dewantara kel-gondrong kec-cipondoh kota tangerang pin bb 24EAD926
Rabu, 15 Mei 2013
Esensi Zakat dalam dunia tasawuf
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar